Sikap Malu

Rasa malu adalah fitrah manusia yang dapat bertambah apabila dilatih dan dapat berkurang apabila seseorang sering mengabaikan perintah-perintah agama dan norma-norma syariah.[1]

Dalam kitab Sahīh al-Bukhārī dan Muslim, terdapat banyak hadith yang menerangkan masalah sifat malu ini. Di antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah r.a. yang menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ شُعْبَةً أَفْضَلُهَا لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَوْضَعُهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

Maksudnya: “Iman mempunyai cabang lebih dari tujuh puluh. Yang paling utama adalah bacaan: Lā ilāha ‘illa Allah (tiada Tuhan melainkan Allah). Dan yang paling rendah adalah menyingkirkan hal-hal yang membahayakan di tengah jalan. Dan rasa malu adalah bahagian dari keimanan.” (H. R. al-Bukhārī dan Muslim).

Selain itu ada juga hadith yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar r.a. yang menceritakan bahawa pada suatu kesempatan Rasulullah s.a.w. melalui seorang lelaki daripada kaum Ansar yang sedang mengingatkan saudaranya supaya meninggalkan sifat malu. Melihat hal ini Rasulullah s.a.w. berkata: “Biarkan dia, kerana malu adalah sebahagian daripada keimanan.” (H. R. al-Bukhārī dan Muslim).

Orang Ansar tersebut memberi nasihat kepada saudaranya supaya meninggalkan sifat malu serta menjelaskan sisi negatif daripada sifat malu tersebut. Dia melakukan hal ini kerana ia merasa bahawa saudaranya mempunyai sifat malu yang berlebihan. Namun Rasulullah s.a.w. tidak setuju dengan sikap orang Ansar ini.

Malu adalah sifat yang berada dalam diri seseorang yang dapat mencegah daripada melakukan hal-hal yang tidak terpuji. Malu merupakan sebahagian dari keimanan dan juga salah satu daripada ciri-ciri keimanan seseorang.

Pada dasarnya sifat malu itu tumbuh apabila timbul sikap hati-hati yang diikuti dengan sikap menjauhkan ucapan atau tindakan yang kurang baik meskipun sebenarnya perbuatan itu dibolehkan dan tiada orang yang mencelanya.

Malu mempunyai hubung kait dengan akhlak-akhlak mulia yang lain seperti menjaga kemuliaan diri (al-‘Iffah), mengutamakan orang lain (al-Īthār), sabar, lemah lembut, pemaaf dan menggauli keluarga dengan baik.

Tingkatan tertinggi dari rasa malu ini adalah di saat seseorang sudah merasa bahawa dirinya selalu diawasi oleh Allah s.w.t.. Pada suatu hari Rasululllah s.a.w. memberi nasihat kepada para sahabat: “Malulah kalian kepada Allah dengan malu yang sebenar.” Para sahabat berkata: “Wahai Rasul, al-Hamdulillah, kami sudah mempunyai rasa malu.” Rasul kembali berkata:

لَيْسَ ذَاكَ وَلَكِنَّ الِاسْتِحْيَاءَ مِنْ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ أَنْ تَحْفَظَ الرَّأْسَ وَمَا وَعَى وَالْبَطْنَ وَمَا حَوَى وَلْتَذْكُرْ الْمَوْتَ وَالْبِلَى وَمَنْ أَرَادَ الْآخِرَةَ تَرَكَ زِينَةَ الدُّنْيَا فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ اسْتَحْيَا مِنْ اللَّهِ حَقَّ الْحَيَاءِ

Maksudnya: “Bukan seperti itu yang saya maksudkan. Rasa malu yang sebenar terhadap Allah adalah jika kamu dapat menjaga kepala dan isinya, perut beserta isinya, dan mau mengingat kematian serta musibah. Sesiapa yang ingin (merasakan kenikmatan di) akherat (hendaknya) meninggalkan perhiasan dunia. Sesiapa dapat melakukan hal itu maka dia benar-benar malu kepada Allah s.w.t..”

 

Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang pemalu bahkan Beliau sangat pemalu. Sehingga para sahabat mengatakan bahawa rasa malu yang dimiliki Rasulullah s.a.w. melebihi rasa malu yang dimiliki para gadis.[2]

Hal ini tidak menghairankan kerana Rasulullah s.a.w. selalu menjaga pandangan mata dari hal-hal yang diharamkan, yang keluar dari lisannya selalu kata-kata yang baik, lebih mementingkan orang lain, seorang yang pemaaf, sangat baik dengan keluarga, penyabar, lemah lembut dan sangat menyayangi orang-orang yang beriman.

Meskipun Rasulullah s.a.w. mempunyai sifat malu, namun Beliau tidak pernah sedikitpun merasa malu melakukan aktiviti dakwah, menyampaikan risalah, membela kebenaran dan menegakkan keadilan. Beliau juga tidak pernah malu melaksanakan ketakwaan kepada Allah s.w.t..

Di saat menghadapi kezaliman, Rasul tidak segan-segan untuk marah, namun kemarahan Beliau bukan kerana dorongan nafsu. Kemarahan Beliau adalah untuk membela agama Allah s.w.t.. Lebih dari itu Rasul juga tidak jarang mengangkat senjata menghadapi orang-orang musyrik yang menentang agama Allah dan menghalangi dakwahnya. Hal ini Beliau lakukan demi tersebarnya ajaran Islam dan demi kemuliaan agama Allah s.w.t..

Tiada teladan utama yang tepat dalam masalah ini selain Rasulullah s.a.w.. Juga tiada nasihat-nasihat yang lebih indah melebihi nasihat yang keluar dari lisan mulia Beliau. Di antara nasihat Beliau berkaitan dengan masalah ini adalah hadith yang diriwayatkan oleh Abū Hurairah r.a. sebagai berikut:

الْحَيَاءُ مِنْ الْإِيمَانِ وَالْإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَذَاءُ مِنْ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Rasa malu adalah sebahagian dari iman, dan keimanan berada di surga. Sedangkan tindakan atau ucapan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar, dan perangai kasar bertempat di neraka.” (H. R. al-Tirmidhī, Ahmad, Ibn Hibbān dan al-Hākim).

Sahabat Anas bin Mālik r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

Maksudnya: “Setiap sesuatu yang dihinggapi kekejian, maka akan menjadi tercela. Dan setiap sesuatu yang dibarengi rasa malu, maka akan terhias (dan menjadi indah).” (H. R. al-Tirmidhī dan Ibn Mājah).

Rasulullah s.a.w. sangat menganjurkan umatnya untuk menghias diri dengan sifat malu, kerana sifat ini adalah bentuk lahiriyah dari kesempurnaan iman seseorang. Dengan adanya rasa malu, seseorang akan terdorong untuk selalu melakukan amal kebajikan dan menjauhi kemaksiatan.

Sifat malu muncul dari fitrah manusia. Ia merupakan tanda kesempurnaan iman seseorang. Rasa malu dapat bertambah apabila seseorang melatih dirinya untuk selalu menghias diri dengan sifat itu, dan sifat ini juga dapat berkurang bahkan hilang sama sekali apabila seseorang mulai mengabaikan perintah-perintah agama dan norma-norma syariah. Dengan sifat malu, maka kehidupan setiap individu akan selamat dan keadaan masyarakat akan teratur dan terjaga dari penyakit sosial. Di samping itu dengan adanya rasa malu maka mereka akan bersemangat melakukan amal kebajikan dan membantras kemungkaran.

Banyak hadith yang menceritakan tentang sifat malu yang dipraktikkan Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan sehari-hari, di antaranya adalah:

  1. Sebahagian sahabat sukakan dengan makanan yang biasa dihidangkan Rasulullah di rumah. Mereka sering berlepak dan berbual di rumah Rasulullah, sambil menunggu makanan yang sedang dimasak. Sebenarnya Rasul s.a.w. merasa terganggu dengan kebiasaan mereka yang lama berbual-bual. Namun Rasulullah s.a.w. malu meminta mereka untuk keluar dan pergi dari rumah, kerana Nabi merasa sikapnya itu akan membuat para sahabat merasa bersalah. Kemudian Allah s.w.t. menurunkan ayat yang berisikan nasihat kepada para sahabat dalam masalah ini. Dengan turunnya ayat ini, sayidah ‘Ā’isyah r.a. berkata kepada Rasul: “Cukuplah kamu menahan diri sehingga hatimu merasa berat. Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak sukakan dengan perbuatan mereka.”

Ayat yang dimaksud adalah: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah-rumah Nabi kecuali apabila kamu diizinkan untuk makan dengan tidak menunggu-nunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu diundang maka masuklah dan apabila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa asyik memperpanjang percakapan. Sesungguhnya yang demikian itu akan mengganggu Nabi lalu Nabi malu kepadamu (untuk menyuruh kamu ke luar), dan Allah tidak malu (menerangkan) yang benar.” (al-Ahzāb, 33: 53).

  1. Sebagaimana diriwayatkan oleh sayidah ‘Ā’isyah, Rasulullah tidak sukakan mengungkapkan hal-hal tertentu dengan ungkapan yang tidak sopan kerana Beliau merasa malu mengungkapkan hal itu.

Sayidah ‘Ā’isyah menyatakan bahawa pada suatu hari ada seorang wanita bertanya kepada Rasulullah tentang bagaimana cara mandi setelah darah haid berhenti. Rasul menjelaskan kepada wanita itu, dan berkata: “Ambillah minyak misik dan gunakanlah untuk membersihkannya!” Namun wanita itu terus bertanya: “Bagaimana cara membersihkan dengan menggunakan minyak misik itu?” Rasulullah terhairan-hairan dengan pertanyaan wanita itu, dan Beliau berkata: “Subhāna Allah (Maha Suci Allah) bersihkanlah!” Kemudian ‘Ā’isyah berkata: “Kemudian saya menarik wanita itu supaya dekat denganku dan aku berkata kepadanya: ‘Bersihkan bekas-bekas darah dengan manggunakan minyak misik tersebut.”

Dalam riwayat lain disebutkan bahawa Rasulullah s.a.w. berkata kepada wanita itu: “Ambillah minyak misik dan gunakanlah untuk membersihkannya!” dan mengulanginya sebanyak tiga kali, kemudian Beliau merasa malu dan memalingkan mukanya.[3]

Diriwayatkan bahawa Rifā‘ah menceraikan isterinya dengan talak ba‘in (talak tiga). Kemudian Isteri Rifā‘ah menikah dengan lelaki lain. Namun tidak lama kemudian ia ingin kembali kepada Rifā‘ah. Dia datang kepada Rasul untuk menanyakan bagaimana cara kembali kepada suaminya yang pertama. Rasul menjawab: “Kamu tidak dapat kembali kepadanya, kecuali setelah kamu merasakan madunya dan dia merasakan madumu.” Maksudnya kamu tidak dapat kembali menikah dengan Rifā‘ah kecuali setelah kamu berubungan badan (berjimak) dengan suami kamu yang baru.

Dari penjelasan di atas nampak jelas bahawa Rasulullah s.a.w. sangat pemalu, namun untuk menerangkan masalah-masalah keagamaan atau permasalahan fiqh, Beliau tidak pernah malu, meskipun harus menggunakan kata-kata kiasan.

Anjuran untuk Menanamkan Sifat Malu

Malu adalah sifat mulia dan juga sebahagian daripada keimanan seseorang, oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. sangat menganjurkan umatnya untuk menanamkan sifat ini pada diri mereka. Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِذَا لَمْ تَسْتَحِ فَاصْنَعْ مَا شِئْتَ

Maksudnya: “Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja sesukamu.”

Maksudnya adalah apabila kamu tidak mempunyai rasa malu yang dapat mencegahmu melakukan dosa, maka lakukanlah apa yang dibisikkan oleh nafsumu. Ini merupakan ancaman dan peringatan dari Rasulullah s.a.w.

Namun hadith ini juga dapat difahamkan sebagai perintah, maksudnya apabila kamu ingin melakukan hal yang tidak memalukan menurut ajaran agama, namun dianggap aib (tercela) menurut adat, maka lakukanlah.[4]

Contoh lain dari sifat malu yang dipraktikkan Rasul adalah Beliau tidak pernah menatap dengan tajam wajah seseorang. Beliau memalingkan wajahnya apabila ada orang yang mengucapkan perkataan yang tidak baik, dan apabila ada ucapan yang kurang berkenan di hati, Beliau pura-pura tidak faham kerana tidak ingin membicarakan hal itu.[5]

Sayidah ‘Ā’isyah menerangkan bahawa di saat Rasulullah s.a.w. mendengar khabar ada seseorang mengatakan atau melakukan hal-hal yang tidak baik, Beliau tidak berkata: “Mengapa Fulan mengatakan hal tersebut.” Melainkan Beliau berkata: “Mengapa kaum tersebut melakukan hal itu atau mengatakan hal itu.” Rasul megucapkan hal ini dengan maksud melarang orang tersebut melakukannya, namun Beliau tidak pernah menyebut nama orang yang melakukan hal itu.

Jika menginginkan sesuatu, kadang-kadang Rasulullah menggunakan kata-kata kiasan, kerana apabila diungkapkan dengan jelas merupakan ucapan yang kurang sopan.

Setelah menjelaskan sifat malu pada diri Rasulullah, selanjutnya kita akan menerangkan sifat malu pada diri para sahabat Rasul.

Uthmān bin ‘Affān r.a. terkenal sebagai sahabat yang sangat pemalu sehingga malaikat pun malu kepadanya. ‘Ā’isyah mengisahkan bahawa pada suatu hari dirinya sedang bersama Rasulullah s.a.w.. Kemudian datanglah Abū Bakar dan meminta izin untuk masuk, Rasul mempersilahkan ia untuk masuk, dan Rasulullah tetap dalam keadaan semula. Tidak lama kemudian ‘Umar bin al-Khttab datang dan minta izin untuk masuk. Rasul mempersilahkan ia untuk masuk dan Beliau tetap dalam keadaan semula. Setelah itu datanglah Uthmān dan minta izin kepada Rasul untuk masuk. Pada kesempatan ini Rasulullah s.a.w. membetulkan baju terlebih dahulu sebelum keluar dan mempersilahkan Uthmān untuk masuk rumah.

‘Ā’isyah bertanya kepada Rasul: “Wahai Rasul. Ketika Abū Bakar datang kepadamu dan mengutarakan keinginannya, kamu tidak berbenah diri. Begitu juga ketika ‘Umar datang dan meyampaikan keperluannya, kamu juga tetap dalam keadaan semula. Namun ketika ‘Uthmān yang datang, kamu duduk dengan rapi dan membetulkan pakaian yang kamu pakai? Rasulullah s.a.w. menjawab: “Wahai ‘Ā’isyah, Uthmān adalah orang yang sangat pemalu. Jika aku mempersilahkan ia untuk masuk sedangkan aku masih dalam keadaan semula, aku khawatir dia tidak akan masuk dan tidak akan menyampaikan keinginannya.”[6]

Rasulullah s.a.w. mengistimewakan Uthmān kerana malaikat sahaja malu dengan Uthmān. Sayidah ‘Ā’isyah berkata: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. tidur dalam keadaan miring di dalam rumah dan kedua betisnya terbuka. Saat itu Abū Bakar r.a. datang dan meminta izin untuk masuk. Rasulullah s.a.w. mempersilahkannya untuk masuk. Abū Bakar pun masuk, dan Rasulullah s.a.w. masih dalam keadaan semula. Kemudian Rasulullah s.a.w. berbincang-bincang dengannya.

Tidak lama kemudian, ‘Umar r.a. datang. Rasulullah s.a.w. mempersilahkannya untuk masuk. Saat itu, Beliau juga masih dalam keadaan yang semula. Kemudian Uthmān datang, dan saat itulah Rasulullah s.a.w. dengan serta merta duduk dan membetulkan pakaian yang dipakainya.

‘Ā’isyah bertanya kepada Rasulullah s.a.w.: “Wahai Rasul. Ketika Abū Bakar datang, engkau tidak begitu mempedulikannya, begitu juga ketika ‘Umar datang. Namun ketika Uthmān yang datang, engkau duduk dan membetulkan pakaian yang engkau pakai?”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Tidakkah aku seharusnya malu terhadap orang yang malaikat sahaja malu kepadanya.”[7]

Rasulullah s.a.w. dalam sabda-sabdanya sering sekali menganjurkan umatnya untuk menghiasa diri dengan sifat malu ini. Di antara hadith-hadith yang menerangkan hal ini adalah:

  1. Rasulullah s.a.w. bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُهْلِكَ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ فَإِذَا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ رِبْقَةُ الْإِسْلَامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah s.w.t. apabila ingin menghancurkan seorang hamba, Dia akan menghilangkan rasa malu pada dirinya, dan apabila rasa malu sudah hilang dari dirinya, maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang memuakkan dan suka menebar kebencian. Jika dia sudah sering bertemu dengan orang-orang seperti itu, maka sifat amanah pada dirinya akan dihilangkan. Dan apabila sifat amanah sudah hilang maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang suka berkhianat dan dikhianati. Dan jika dia sudah sering bertemu dengan orang seperti itu maka rasa kasih sayang hilang dari dirinya. Jika rasa kasih sayang sudah hilang maka dia akan selalu ketemu dengan orang yang terlaknat, dan apabila dia sudah sering bertemu orang seperti itu maka ikatan Islam akan terlepas darinya.”[8]

2. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya rasa malu dan keimanan diciptakan berpasangan. Jika salah satu daripada sifat etrsebut hilang maka akan diikuti dengan hilangnya yang lain.[9]

3. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Malu adalah baik, apapun bentuknya.”[10]

4. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa tidak mempunyai rasa malu terhadap manusia, maka dia tidak mempunyai rasa malu terhadap Allah s.w.t..”[11]

5. Rasulullah juga bersabda: “Rasa malu adalah sebahagian daripada keimanan.[12]

Suatu hari Rasulullah s.a.w. melalui seorang daripada kaum Ansar yang sedang mengingatkan saudaranya untuk tidak merasa malu. Rasul berkata kepada orang itu: “Biarkan dia, sesungguhnya rasa malu adalah sebahagian dari keimanan.[13]

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa menanggalkan ‘pakaian malunya’, maka membincangkannya bukan termasuk ghibah.”[14]

Rasulullah s.a.w. bersabda:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ وَإِنَّ مِنْ الْمُجَاهَرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلًا ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عَلَيْهِ فَيَقُولَ يَا فُلَانُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Setiap umatku akan diampuni kecuali orang yang tidak mempunyai rasa malu, sehingga tega membeberkan rahasianya secara terang-terangan. Termasuk sikap seperti ini adalah apabila seorang lelaki melakukan sesuatu pada malam hari, kemudian di pagi harinya dia berkata kepada seseorang: ‘Wahai Fulan semalam saya melakukan sesuatu (tindakan aib atau dosa)’. Padahal Allah telah menutupi aibnya itu, dan dia malah membeberkan aibnya sendiri  yang ditutupi oleh Allah s.w.t..” [15] 

Keterangan di atas merupakan gambaran sifat malu yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w., Nabi pembawa kedamaian. Dan sifat ini merupakan ajaran Islam yang utama dan merupakan akhlak yang harus dimiliki oleh setiap Muslim.

[1]  Lihat Tahdhīb al-Targhīb wa al-Tarhīb min al-Ahādith al-Sihhah li al-Mundhirī, editor: Muhyiddin Mastu dkk., Dār Ibn Kathīr.
[2]  Fath al-Mubdī, (3/61).
[3]  Fath al-Mubdī, (1/170) dan al-Ihyā’, (2/324).
[4]  Fath al-Mubdī, (3/311).
[5]  Ihyā’ Ulūm al-Dīn, (2/324).
[6]  H. R. Ahmad. Imam Muslim juga meriwayatkan hadith ini dengan susunan kata yang hampis sama.
[7]  H. R. Muslim dan Ahmad.
[8]  Al-Jāmi‘ al-Saghīr, (1/197).
[9]  Kanz al-Ummāl dan Al-Jāmi‘ al-Saghīr, (1/197).
[10]  Ibid,
[11] Ibid,
[12] Ibid,
[13] Fath al-Mubdī, (1/58).
[14]  Al-Jāmi‘ al-Saghīr, (2/358).
[15]  Al-Jāmi‘ al-Saghīr, (2/164) dan Fath al-Mubdī, (3/308).
Pos ini dipublikasikan di Sikap Malu dan tag , , , , . Tandai permalink.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s